Malaya British secara kurang tepat diperihalkan sebagai sekumpulan negeri di Semenanjang Tanah Melayu yang dijajah oleh British dari abad ke-18dan ke-19 sehingga abad ke-20. Sebelum pembentukan Malayan Union pada tahun 1946, tanah-tanah jajahan ini tidak diletakkan di bawah sebuah pentadbiran tunggal yang disatukan. Sebaliknya, Malaya British terdiri daripada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu. Malaya juga merupakan salah satu negeri naungan British yang paling menguntungkan disebabkan ia adalah pengeluar timah dan kemudiannya getah yang paling besar di dunia.
Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada16 September 1963, sebuah persekutuan yang lebih besar yang dikenali sebagai Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Penglibatan permulaan British dalam politik Melayu
Pihak British mula-mulanya terlibat dalam politik Melayu ketika ia mencuba mengasaskan pos-pos perdagangan di Pulau Pinang, ketika itu sebahagian Kedah, pada tahun 1771, Melaka pada 1790 dan Singapura pada tahun 1819.
Kedah dan Pulau Pinang
Pada pertengahan abad ke-18, syarikat-syarikat British boleh didapati berdagang di Semenanjung Tanah Melayu. Pada April 1771, Jourdain, Sulivan dan de Souza, sebuah syarikat British yang berpusat di Madras, India menghantar Sir Francis Light untuk berjumpa dengan Muhammad Jiwa Shah, sultan Kedah, bagi membuka pasaran perdagangan di negeri itu. Light juga merupakan kapten dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris.
Pada waktu yang sama, Sultan Kedah menghadapi banyak ancaman luaran yang mencabar kuasa baginda di Kedah. Siam yang berperang dengan Burma melihatkan Kedah sebagai sebuah negeri lindungan, dan sering menuntut Kedah menghantar tentera bantuan. Bagaimanapun, Kedah berkeberatan bersekutu dengan Siam.
Melalui perundingan antara Sultan Kedah dan Light, Sultan Kedah bersetuju membenarkan syarikat Light membina sebuah pos perdagangan dan beroperasi di Kedah jika pihak British bersetuju memperlindungi Kedah daripada tekanan luaran. Light menghantar perutusan ini kepada orang atasannya di India. Bagaimanapun, pihak British memutuskan untuk menolak cadangan tersebut.
Dua tahun kemudian, Sultan Muhammad Jiwa mangkat dan diwarisi oleh Sultan Abdullah Mahrum Shah. Sultan baru itu terdesak dan menawarkan Light (yang merupakan wakil British) Pulau Pinang sebagai balasan untuk bantuan ketenteraan kepada Kedah. Light memberitahu Syarikat Hindia Timur Inggeris tentang tawaran sultan. Bagaimanapun, syarikat itu memerintah Light mengambil alih Pulau Pinang tanpa memberi sebarang jaminan bantuan ketenteraan yang dimintai oleh sultan. Light kemudian mengambil alih Pulau Pinang dan menjamin Sultan Kedah tentang bantuan ketenteraan walaupun ini bertentangan dengan kedudukan syarikatnya. Kemudian, syarikat itu membuat keputusan dan memberitahu Light bahawa mereka tidak akan memberi sebarang bantuan ketenteraan kepada Kedah. Pada Jun 1788, Light memberitahu Sultan Kedah tentang keputusan syarikatnya. Berasa ditipu, Sultan Kedah memerintah Light keluar dari Pulau Pinang tetapi Light menolak.
Penolakan Light menyebabkan Sultan Kedah mengukuhkan tenteranya dan mengubui Perai. Perai ialah pantai yang terletak di seberang sana Pulau Pinang. Menyedari bahaya itu, pihak British membakar kubu di Prai. Dengan kemenangan mereka, pihak British memaksa Sultan Kedah memeterai sebuah perjanjian yang membenarkan mereka menduduki Pulau Pinang. Sebagai balasan, Sultan Kedah akan menerima sewa tahunan sebanyak 6,000 peso Sepanyol. Pada 1 Mei 1771, Union Jack dinaikkan secara rasmi buat pertama kali di Pulau Pinang. Pada tahun 1800, Kedah menyerahkan Perai kepada pihak British dan Sultan Kedah menerima 4,000 peso lagi sebagai sewa tahunan. Pulau Pinang dinamakan "Prince of Wales Island", manakala Perai di namakan semula sebagai "Province Wellesley".
Pada tahun 1821, Siam menyerang Kedah serta menjarah ibu kota Alor Star dan menduduki negeri itu sehingga tahun 1842.
Melaka
Maklumat terperinci: Kesultanan Melaka
Dari abad ke-16 hingga awal ke-19, Melaka ialah tanah jajahan Belanda. Semasa perang-perang Napoleon antara tahun 1811 dan 1815, Melaka, serupa dengan pegangan-pegangan Belanda yang lain di Asia Tenggara, berada di bawah jagaan British. Ini dilakukan untuk menghalang Perancis daripada menuntut hak milik Belanda di sana. Apabila perang berakhir pada tahun 1815, Melaka dipulangkan kepada Belanda. Pada tahun 1824, pihak British dan Belanda menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian ini, antara yang lain, memindahkan Melaka ke pentadbiran British secara sah di sisi undang-undang. Perjanjian itu juga merupakan perjanjian tunggal yang membahagikan kepulauan Melayu menjadi dua buah entiti yang berasingan dan menjadi asas kepada sempadan Indonesia-Malaysia kini.
Johor dan Singapura
Maklumat terperinci: Kesultanan Johor
Singapura Moden ditubuhkan oleh Sir Stamford Raffles dengan banyak bantuan daripada Mejar Farquhar. Sebelum menubuhkan Singapura, Raffles adalah Leftenan Gabenor Jawa dari 1811 hingga 1815. Pada tahun 1818, beliau dilantik sebagai Gabenor Benkulin. Menyedari bagaimana Belanda memonopoli perdagangan di Kepulauan Melayu, Raffles yakin bahawa pihak British memerlukan sebuah tanah jajahan perdagangan yang baru untuk menentang kuasa perdagangan Belanda. Penyelidikan berbulan-bulan membawanya ke Singapura, sebuah pulau di hujung Semenanjung Melayu. Pulau ini diperintah oleh seorang temenggung.
Singapura ketika itu di bawah penguasaan Tengku Abdul Rahman, Sultan Lingga-Riau, yang pula dikuasai oleh Belanda dan orang Bugis. Oleh itu, baginda tidak mungkin akan bersetuju dengan penubuhan sebuah pangkalan British di Singapura. Walau bagaimanapun, Tengku Abdul Rahman menjadi sultan hanya kerana kekandanya, Tengku Hussein atau Tengku Long, telah lama meninggalkan tempat asalnya untuk berkahwin di Pulau Pinang apabila Sultan Lingga-Riau, bapa mereka, mangkat pada tahun 1812. Menurut adat resam Melayu, seseorang putera harus berada di sisi sultan semasa sultan mangkat untuk melayakkan diri menjadi pewaris raja. Tengku Abdul Rahman berada di sisi bapa mereka ketika bapa mereka mangkat. Kekandanya tidak berpuas hati dengan perkembangan itu sementara temenggung Singapura lebih suka akan Tengku Hussein daripada adiknya.
Pihak British mengakui Tengku Abdul Rahman buat pertama kali sebaik sahaja mereka berada di Melaka. Bagaimanapun, keadaan itu kemudian berubah. Pada tahun 1818, Farquhar melawat Tengku Hussein di Penyengat, sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengan Bintan, ibu kota Kepulauan Riau. Di sana, rancangan-rancangan baru disediakan dan pada tahun 1819, Raffles membuat perjanjian dengan Tengku Hussein yang menyatakan bahawa pihak British akan mengakui Tengku Hussein sebagai pemerintah Singapura yang sah jika baginda membenarkan mereka mengasaskan sebuah pos perdagangan di sana. Perjanjian itu yang diratifikasi pada 6 Februari 1819 juga menyatakan bahawa Tengku Hussein dan temenggung akan menerima gaji tahunan daripada pihak British. Dengan pertolongan Temenggung, Raffles berjaya bertolak dari Penyengat ketika berpura-pura 'memancing ikan'. Selepas ketibaannya di Singapura, baginda dilantik dengan segera sebagai Sultan Singapura yang rasmi.
Belanda amat marah terhadap tindakan Raffles. Walau bagaimanapun, dengan pemeteraian Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda menarik balik sebarang tentangannya terhadap kehadiran British di Singapura. Dengan perjanjian tersebut, Kesultanan Johor dibahagikan kepada Johor moden dan Kesultanan Riau baru.
Negeri-negeri Selat
Selepas pihak British menguasai Singapura daripada pihak Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, British bertujuan untuk memusatkan pentadbiran Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Oleh itu, pada tahun 1826, sebuah rangka yang dikenali sebagai "Negeri-negeri Selat" ditubuhkan dengan Pulau Pinang menjadi ibu kotanya. Kemudian pada tahun 1832, ibu kotanya dipindahkan ke Singapura. Sementara tiga pegangan menjadi tulang belakang Negeri-Negeri Selat, Pulau Christmas, Kepulauan Cocos, Labuan dan Dinding di Perak kemudian diletakkan di bawah kuasa Negeri-negeri Selat.
Sehingga tahun 1867, Negeri-negeri Selat bertanggungjawab kepada pentadbir Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kolkata. Bagaimanapun, para pentadbir Negeri-negeri Selat tidak berpuas hati dengan cara Kolkata menangani hal-ehwal mereka dan mereka merungut kepada London. Syarikat itu juga mencuba membatalkan taraf Singapura sebagaipelabuhan bebas pada tahun 1856.
Bagaimanapun, Syarikat Hindia Timur Inggeris dibubarkan pada tahun 1858 dan India dijadikan sebuah tanah jajahan. Disebabkan oleh kuasa Kolkata yang semakin merosot serta lobi para pentadbir Negeri-negeri Selat, tanah jajahan tersebut dikuasai secara langsung oleh Pejabat Kolonial di London dan diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Diraja. Pengisytiharan itu memberikan Negeri-negeri Selat banyak kebebasan dan kuasa di dalam Empayar British.
Pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua, tanah jajahan dibubarkan dan diserap ke dalam Malayan Union sedangkan Singapura dipisahkan daripada Union tersebut dan dibentuk sebagai sebuah tanah jajahan baru. Malayan Union kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan pada tahun 1963, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan yang lebih besar, dengan pemasukan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.
Negeri-negeri Melayu Utara dan Siam
Maklumat terperinci: Sejarah Thailand (1768-1932)
Sebelum akhir abad ke-19, Syarikat Hindia Timur Inggeris hanya memberikan perhatian kepada perdagangan dan mencuba menjauhkan diri daripada politik Melayu dengan seberapa yang dapat. Bagaimanapun, pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu utara, khususnya Kedah, Terengganu, Kelantan dan Patani menghalangnya daripada berdagang dengan aman. Oleh itu, pada tahun 1826, pihak British melalui Syarikat tersebut memeterai sebuah perjanjian dengan raja Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Burney. Keempat-empat negeri Melayu tidak hadir semasa pemeteraian perjanjian itu. Dalam perjanjian itu, pihak British mengakui kedaulatan Siam terhadap keempat-empat negeri tersebut. Sebagai balasan, Siam menerima pemilikan British terhadap Pulau Pinang serta Seberang Perai (Province Wellesley) dan membenarkan Syarikat berdagang di Terengganu dan Kelantan tanpa halangan.
Hampir seratus tahun kemudian, sebuah perjanjian baru yang kini dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909 atau Perjanjian Bangkok 1909 dimeterai antara kedua-dua kuasa. Dalam perjanjian baru ini, Siam bersetuju untuk melepaskan tuntutan mereka terhadap Kedah, Perlis, Terengganudan Kelantan, manakala Patani dikekalkan sebagai sebuah wilayah Siam. Perlis yang pada suatu masa merupakan sebahagian Kedah dipisahkan daripada Kedah semasa pemerintahan Siam. Bagaimanapun, daerah Satun di Kedah diilhakkan oleh Siam melalui perjanjian tersebut. Patani sebaliknya dipecahkan menjadi Patani, Yala dan Narathiwat selepas pemeteraian perjanjian itu.
Walaupun Raja Chulalongkorn dari Siam berkeberatan memeterai perjanjian itu, tekanan Perancis yang semakin meningkat di sempadan timur Siam memaksanya bekerjasama dengan pihak British. Serupa dengan Rama IV, Chulalongkorn berharap bahawa pihak British akan meninggalkan Siam sendirian jika baginda menyetujui tuntutan-tuntutan British. Lebih awal pada tahun 1893, Siam telah hilang kawasan Shan di Myanmar timur laut kepada pihak British. Garisan tanda sempadan ini sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian masih dikekalkan pada hari ini sebagai Sempadan Malaysia-Thailand.
Sultan-sultan Melayu tidak mengakui perjanjian tersebut. Bagaimanapun, baginda-baginda itu terlalu lemah untuk menentang pengaruh British. Selepas Perjanjian Bangkok, George Maxwell dihantar oleh pihak British ke Kedah sebagai penasihat sultan. Pihak British mengambil alih perancangan dan pelaksanaan ekonomi secara berkesan. Landasan kereta api dibina untuk mengaitkan Kedah dengan Siam pada tahun 1912, sedangkan reformasi tanah diperkenalkan pada tahun 1914. Hanya pada tahun 1923 bahawa sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Syah, menerima seorang penasihat British.
Perlis mengalami keadaan yang serupa. Rajanya tidak mengakui perjanjian 1909 tetapi pihak British merupakan pentadbir de facto negeri itu. Hanya pada tahun 1930 bahawa rajanya, Raja Syed Alwi, mengakui kehadiran British di Perlis dengan penerimaan Meadows Frost sebagai Penasihat British pertama di Perlis.
No comments:
Post a Comment